Bagi kekal relevan di Sabah, UMNO negeri perlu diberi lebih autonomi kerana suasana politik di sana yang jauh berbeza dengan keadaan di Semenanjung, tegas bekas ahli Parlimen Kota Belud Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau, yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah berkata, keadaan di sana adalah lebih bersifat parokial, dan agak sukar bagi UMNO Sabah untuk terus bertapak di sana, apatah lagi berhadapan dengan parti tempatan yang sudah memegang kuasa pemerintahan seperti Parti Warisan Negara.

“Untuk Sabah, kita ada Warisan, sebuah parti tempatan. Kita tidak mahu berdepan dengan mereka tatkala kita terus memegang imej sebagai sebuah parti dari Malaya (Semenanjung),” katanya sewaktu bersiaran secara langsung di Agenda AWANI: Dialog Majlis Ahli Majlis Tertinggi UMNO, malam tadi.

Turut bersiaran dalam rancangan yang dihoskan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI Kamarul Bahrin Haron, ialah bekas exco Pemuda UMNO Datuk Dr Fathul Bahri Mad Jahaya, dan bekas ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat.

Tegas Abdul Rahman lagi, cadangan calon Presiden iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menjanjikan jawatan khas Naib Presiden parti untuk UMNO Sabah, adalah amat bertepatan memandangkan autonomi sebegitu yang diperlukan bagi menentukan hala tuju mereka di negeri Bawah Bayu itu.

“Di Sabah, UMNO mempunyai seratus ribu ahli yang beragama Kristian. DNA kita (UMNO Sabah) amat berbeza, dan ia menuntut satu autonomi politik, dan perubahan supaya UMNO Sabah supaya dapat melangkah lebih kuat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, menjelang pemilihan peringkat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 Jun ini, beliau harapkan agar UMNO dapat dikembalikan kepada sebuah parti yang progresif, tanpa mengabaikan ciri-ciri konservatif, dan masih terus mempertahankan teras-teras parti seperti agama, bangsa, Bahasa dan negara.

“Walaupun saya kalah, parti kalah (pada pilihan raya umum yang lepas), ada ruang-ruang baharu untuk kita perkasa dan beri penjenamaan baharu kepada parti, sejajar dengan era Malaysia Baharu,” katanya lagi.