Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyifatkan UMNO sedang mengalami fasa keruntuhan di seluruh negara disebabkan ramai di kalangan ahlinya yang bertindak keluar parti.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, ramai di antara mereka yang datang berjumpa dengan pimpinan Amanah dan menyuarakan hasrat untuk menyertai parti tersebut.

“Kita akan lihat dari kes ke kes latar belakang mereka dan kita tak sebut nama sesiapa yang hendak menyertai kita, (itu) akan dibincang di peringkat yang besar iaitu di peringkat MKT (Majlis Kepimpinan Tertinggi).

“Saya ingat mereka (UMNO) sedang runtuh di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2018, di Ipoh pada Ahad.

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

BACA: Hamzah Zainudin antara 6 ahli Parlimen keluar UMNO

BACA: Ramai keluar parti, UMNO hilang punca - Veteran parti

BACA: Amanah sedia terima ahli keluar parti dengan syarat

BACA: 'Mereka jumpa saya nak minta nasihat keluar UMNO' - Tun M

Terdahulu dalam ucapan penangguhan di konvensyen itu, Mohamad berkata UMNO diibaratkan sudah hilang tulang belakang akibat hilangnya sokongan dari ahli sendiri.

Bagaimanapun menurutnya, Amanah akan meneliti setiap permohonan dan latar belakang bagi setiap individu yang memohon untuk menyertai parti itu.

Jumaat lalu, Mohamad menjelaskan Amanah sedia menerima mana-mana ahli UMNO yang keluar parti dengan syarat atas persetujuan bersama dari pimpinan Amanah dan Pakatan Harapan.