UMNO Semporna telah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja kerana gerak kerja parti di bahagian tersebut telah mendekati rakyat akar umbi tanpa henti dan membuktikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya, Semporna, Datuk Ramlee Marahaban berkata pihak UMNO Semporna berada di tahap persediaan yang sebaiknya, dengan pelaksanaan kerja dijalankan secara berterusan.

"Kita percaya rakyat tahu menilai dan boleh membezakan antara janji kita pihak kerajaan dengan janji pembangkang.

"Kerja kita telah terbukti banyak membantu rakyat kerja mereka (pembangkang) hanya menabur janji yang belum tentu dapat ditepati," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Biro Penerangan UMNO Sabah itu juga menyangkal dakwaan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional di Semporna belum mendapat bantuan kewangan.

"Ini kurang tepat kerana kita sentiasa membantu semua PDM kita (BN). Mungkin jika ada kekurangan itu perkara biasa dan akan diberi perhatian dalam masa terdekat.

"PDM setiap kawasan itu berbeza keperluannya, ada yang memerlukan lebih ada pula yang sedikit, maka pihak kita akan cuba memperbaiki andai ada kelemahan pada ketika ini," katanya.

Ketua Penerangan UMNO Semporna itu berkata demikian kepada Astro AWANI dalam satu temu bual khas di sini pada Sabtu.

UMNO Semporna mempunyai 32 PDM yang meliputi tiga kawasan undangan negeri iaitu Senallang, Sulabayan dan Bugaya di bawah satu parlimen iaitu Parlimen Semporna.

Terdahulu Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah itu merasmikan Perkhidmatan internet UniFi
Telekom Malaysia yang akan memberi manfaat kepada rakyat Semporna dalam memacu pembangunan dan kemajuan melalui penggunaan internet jalur lebar yang lebih berkualiti.