Biarpun Barisan Nasional (BN) tidak lagi menguasai kerajaan Johor dan Persekutuan, namun secara tradisinya UMNO telah membuktikan bahawa mereka mempunyai kemampuan memobilisasikan pengundi-pengundi mereka.

Menurut Ketua Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, perkara itu telah dibuktikan ketika Pilihan Raya kecil (PRK) di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau di mana UMNO berjaya meningkatkan pengundi-pengundi mereka.

Prof Redzuan berpendapat, keputusan PRK Tanjung Piai akan bergantung pada kemampuan parti yang bertanding menggerakkan jentera mereka membawa pengundi.

Jentera UMNO, jelas Prof Redzuan, telah membuktikan di tiga PRK sebelum ini bahawa masalah yang berlaku dalam kalangan pemimpin atasan tidak melemahkan semangat mereka untuk membantu parti mencapai kemenangan.

"Maksudnya walaupun mungkin di peringkat atasan ada berlaku sikit kocakan dalam kalangan pemimpin mereka tetapi di peringkat bawahan, UMNO masih lagi berjaya mengekalkan ahli-ahli mereka.

"Dan ahli-ahli ini boleh dibawa ke peti undi dan ini dibuktikan di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau di mana pengundi-pengundi UMNO berjaya meningkatkan jumlah undi dalam PRK berkenaan," katanya selepas membentangkan kaji selidik awal IDE di Tanjung Piai yang dari 18 hingga 20 Oktober lalu.

Namun, biarpun ramai yang berpendapat BN berpeluang untuk merampas kerusi parlimen Tanjung Piai, IDE berpendapat persaingan masih terbuka luas untuk parti yang bertanding.

Kata beliau, biarpun di atas kertas Datuk Seri Wee Jeck Seng dilihat lebih berpeluang memenangi PRK itu atas alasan jumlah undi Pas ketika Pilihan Raya Umum ke-14 akan berpihak kepada BN, namun banyak faktor lain akan menjadi penentu di hari pengundian.

"Dalam menentukan siapa yang menang dan kalah, dua minggu yang akan datang ini merupakan waktu yang cukup kritikal kerana siapa yang berjaya menggunakan strategi yang betul, menggunakan pendekatan yang betul, berjaya membawa pengundi ke peti undi merekalah yang akan mencapai kemenangan.

"Tetapi sama ada BN atau pun Pakatan Harapan, kalau mereka menggunakan strategi yang tepat kemenangannya ialah dengan kemenangan yang tipis," katanya lagi.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik bulan lalu kerana komplikasi jantung.

Hari penamaan calon telah ditetapkan pada 2 November ini manakala hari pengundian jatuh pada 16 November.