KUALA LUMPUR :UMNO tidak dipinggirkan malah mempunyai peranan yang sangat besar dalam kerajaan Negeri Sabah, tegas bekas Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, hampir semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO memikul tugas sebagai menteri dan timbalan menteri di Sabah.

“Beberapa percaturan yang salah mungkin telah menyebabkan terlepas beberapa kerusi.

“Ia boleh diperbaiki. Sebarang tindakan terburu-buru merugikan UMNO,” katanya menerusia ciapan di laman Twitternya pada Khamis.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang antara lain menyatakan strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai tidak menguntungkan parti itu, sebaliknya semakin memencilkan peranannya di Sabah.

Mohamad turut mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan pedoman dan hala tuju jelas berkaitan kerjasama parti itu dengan saingan politiknya.

Sementara itu, Ahmad Zahid pula dalam ciapan di Twitter berkata, hala tuju parti selepas PRN Sabah akan dibincang dalam Biro Politik UMNO dan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) parti.

BACA: Zahid Hamidi perlu jelaskan hala tuju kerjasama UMNO dengan parti lain - Tok Mat

BACA: "Jernihkan keadaan, bukan keruhkan kedukaan" - Bung Moktar minta henti sandiwara politik


Mengulas lanjut, Annuar berkata, hala tuju kerjasama politik UMNO bergerak atas paksi Piagam Muafakat Nasional (MN) dan kesatuan.

"Hala tuju kerjasama politik UMNO sudah jelas. Ia digaris dengan nyata dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) (dan) ia mesti bergerak atas paksi MN dan kesatuan.

"Persoalannya, apakah kita istiqamah melaksanakannya atau kita goyah dek perkara lain yg mengganggu 'Iman politik' kita," soalnya dalam ciapan di akaun Twitternya.