Seorang wakil Puteri UMNO hari ini mendesak supaya harga rumah yang ditawarkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dikaji semula supaya menepati matlamat asal membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah.

Ketua Puteri UMNO Gerik Salbiah Mohamed ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 berkata rumah PR1MA yang bernilai antara RM100,000 hingga RM400,000 hakikatnya tidak mampu dimiliki golongan berkenaan.

"Ini bukan untuk golongan sederhana. Sebab itulah, kita selalu dengar orang cakap 'itu rumah mampu tengok sahaja, yang mampu milik rumah dalam kubur'.

"Misalnya, graduan baru bekerja dengan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 dan beli rumah berharga RM200,000, mereka perlu bayar antara RM1,000 hingga RM1,200 sebulan, dah separuh gaji. Bagaimana mampu beli rumah. Nak tampung keluarga, bayar pinjaman lagi, kos sara hidup tinggi," katanya.

Berikutan itu, katanya, ada golongan sederhana menganggap usaha kerajaan membantu mereka untuk memiliki rumah hanyalah retorik semata-mata ekoran penetapan harga tidak masuk akal itu.

"Kerajaan sudah buat macam-macam. Ada PR1MA, Skim MyHome, jadi apa masalah. Perumahan PR1MA ditawarkan, niat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah membantu golongan berpendapatan sederhana," katanya.

Justeru, Salbiah berkata sewajarnya Indeks Prestasi Utama (KPI) PR1MA memfokuskan kepada berapa ramai yang berjaya memiliki rumah khususnya anak-anak muda dan bukan keuntungan semata-mata.

PR1MA ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 untuk membangunkan dan menawarkan kediaman di lokasi-lokasi strategik bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana antara RM2,500 hingga RM10,000 sebulan.