Kerajaan digesa supaya mengambil tindakan terhadap peniaga yang sengaja menaikkan harga barang pada kadar yang tidak munasabah.

Perwakilan UMNO Kelantan, Datuk Abdullah Mat Yassim berkata tindakan tidak bertanggungjawab peniaga tersebut nyata membebankan rakyat.

"Bila (harga) minyak naik, harga barang naik. Tapi bila (harga) minyak turun harga barang tak turun.

"Jadi saya nak minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tangkap mereka yang tak bertanggungjawab, buatlah penguatkuasaan supaya rakyat tak dibebani.

"Sebab nanti rakyat akan tengok salah siapa? Jadi mereka akan tunding jari ke kerajaan," kata Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan usul ekonomi pada hari ketiga Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdullah pada masa sama mengakui mereka yang menetap di luar bandar turut merasai tekanan kos sara hidup apatah lagi mereka yang menetap di bandar.

Justeru, beliau mahu Kerajaan mengambil berat masalah yang dihadapi rakyat terutama berkaitan kenaikan kos sara hidup masa kini.