Perwakilan mengharapkan penutup Perhimpunan Agung UMNO 2015 Sabtu ini diakhiri dengan perdamaian antara Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, krisis antara kedua-dua pemimpin itu tidak perlu berpanjangan dalam usaha membela nasib anak bangsa dan memastikan kelangsungan parti.

"Beberapa perwakilan mengharapkan agar krisis antara Presiden dan Timbalan ditamatkan. Kita berdoa agar esok Presiden akan berpeluk di atas pentas disaksikan oleh semua para perwakilan supaya apabila kita balik nanti kita tidak lagi membincangkan berkenaan krisis ini," katanya kepada Astro AWANI semasa Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ujarnya, hubungan baik Najib dan Muhyiddin mampu menjadikan UMNO sebagai parti yang kekal relevan.

"Kita akan tumpukan juga gerak-gerak kerja parti di bawah supaya rakyat melihat UMNO ini yang membela nasib anak bangsa dan memenuhi segala keperluan rakyat," tegas beliau.

Turut senada, Ketua Pemuda Segamat, Bastien Onn, yang mahu permasalahan dalam parti keramat orang Melayu itu diselesaikan dalam suasana yang muhibah.

"Segala apa permasalahan dan ketidakyakinan harus dirungkaikan melalui apa yang dapat diambil daripada pemimpin. Ini yang mahu didengar perwakilan kerana selama ini mereka tidak dapat mendengar penjelasan.

Namun, hari ini melalui tekanan daripada luar, rakyat hari ini, kita gunakan pentas ini untuk menggarap sebaik mungkin semua maklumat yang ada dan terjemahkan jawapan segala masalah," ujar beliau.