"Dia (Najib) macam abang saya."

"Namun, takkan saya tidak boleh tegur. Semua saya buat adalah demi menguatkan parti dan kerajaan," kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau ditanya bagaimana hubungannya dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditemui di sisi Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan memohon maaf dan berdamai dengan Najib, Shafie merasakan tiada keperluan untuk meminta maaf kerana pada hematnya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Saya dan rakan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berbuat apa-apa salah. Kami hanya fikirkan yang terbaik untuk parti.

"Apa-apa teguran yang dibuat adalah berniat baik dan hanya bertujuan untuk memperbetulkan keadaan bagi mengukuhkan parti," jelas Shafie susulan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Jumaat.

Hishammuddin dilaporkan berkata masih ada ruang untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada UMNO di atas sikap mereka, namun ia perlu dilakukan dengan ikhlas.

"Kami memang dah berdamai. Mana ada pergaduhan. Kami cuma memberikan pandangan. Apa keperluannya untuk meminta maaf?" kata Shafie lagi.

Hishammuddin bagaimanapun pada Sabtu menafikan beliau ada membuat kenyataan itu.