Pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam krisis pertukaran Menteri Besar Selangor tidak menghalang beliau terus mentabdir negeri, malah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk kekal sebagai Menteri Besar sehingga ada perkembangan terbaharu.

Ramai pihak berpendapat dengan perkembangan ini, Abdul Khalid yang kini menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Pelabuhan Klang bakal mengetahui nasibnya menerusi dua kaedah iaitu undian sulit di hadapan Sultan dan juga usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Khalid dipecat daripada parti pada 9 Ogos kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang mencalonkan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sejak 13 Mac 2008.

BAKAL MENGULANGI SEJARAH PERAK

Penganalisis politik berpendapat meskipun mendapat perkenan Sultan untuk mengekalkan jawatan sebagai Menteri Besar, namun Abdul Khalid tidak boleh berasa selamat kerana ia bersifat sementara.

Perkembangan muktahir ini menjadikan Selangor, negeri kedua selepas Perak yang mengalami pergolakan politik memuncak pada 2009, sehingga memaksa campur tangan Sultan.

Pada ketika itu, Perak yang dipimpin PAS tumbang selepas pergolakan hebat di dalam pakatan PAS-DAP-PKR menyaksikan tiga ADUN mereka umum keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang mesra Barisan Nasional (BN).

Tiga ADUN tersebut ialah ADUN Jelapang Hee Yit Foong daripada DAP, ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, kedua-duanya daripada PKR.

Berikutan itu, Sultan Perak Almarhum Sultan Azlan Shah memerintahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan anggota EXCO negeri meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta, dan kegagalan berbuat demikian, jawatan itu dianggap kosong.

Pun begitu, pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat menjelaskan kes di Selangor adalah berbeza dengan kes di Perak.

"Di Perak ia melibatkan soal ADUN yang keluar parti dan menyokong BN manakala di Selangor, Abdul Khalid dilantik secara sah memegang jawatan Menteri Besar cuma beliau dipecat keanggotaannya daripada PKR," katanya kepada Bernama.

UNDIAN SULIT

Umpama krisis politik di Perak yang diselesaikan menerusi undian sulit di hadapan Almarhum Sultan Azlan Shah, kaedah yang sama juga mungkin digunapakai dalam menyelesaikan kemelut politik di Selangor.

Pejabat Sultan Perak ketika itu mengeluarkan kenyataan setelah baginda menerima menghadap semua 28 ADUN BN dan tiga anggota Bebas bahawa Sultan yakin Mohammad Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN.

Kedudukan terkini DUN Selangor yang memiliki 56 kerusi ialah PAS dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi, PKR (13), BN (12) dan Bebas satu kerusi.

Abdul Khalid dalam sidang media di Shah Alam hari ini memaklumkan bahawa Sultan Selangor, yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Dewan Diraja Selangor di Istana Alam Shah, berpuas hati dengan penjelasannya berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar bahawa beliau masih memperoleh kepercayaan majoriti ADUN.

"Justeru, DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya DYMM Tuanku telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai menteri besar Selangor," kata Abdul Khalid.

Mengenai usul undi tidak percaya terhadapnya, Abdul Khalid berkata pihak berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghantar laporan kepada Sultan Selangor dan sehingga kini Sultan tidak menerima apa-apa laporan berhubung usul berkenaan.

Samsul Adabi berkata pada ketika ini Abdul Khalid perlu meyakinkan ADUN yang menyokongnya untuk memberi sokongan padu bagi beliau terus mengekalkan jawatan sebagai Menteri Besar.

MENGHARAPKAN SOKONGAN PAS

Sehingga kini, Abdul Khalid disokong kuat oleh PAS Selangor yang senada dengan keputusan Majlis Syura sebelum ini yang mahukan beliau terus menerajui Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad dilapor berkata Exco kerajaan negeri yang diwakili PAS tidak akan meletak jawatan atau berhenti daripada bekerjasama dengan Abdul Khalid.

Secara tidak langsung, ia dilihat sebagai suatu 'jaminan' kepada Abdul Khalid sekiranya diadakan usul undi tidak percaya kepadanya pada persidangan DUN akan datang.

Persoalan yang timbul, bolehkah Abdul Khalid mengharapkan sokongan jitu daripada 15 ADUN PAS sekiranya berlaku usul undi tidak percaya terhadap dirinya?

Mengulas perkara itu, Samsul Adabi berkata di atas kertas ADUN Pelabuhan Klang itu tidak berhadapan masalah mendapat sokongan padu daripada 15 ADUN PAS.

"Pun begitu, ia belum lagi dizahirkan dalam bentuk undi. Kita juga hendak melihat adakah di kalangan ADUN PAS itu yang sebelum ini pro-Anwar (Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) berani melawan keputusan parti yang menyokong penuh kepimpinan Abdul Khalid.

"Dan saya percaya daripada 13 ADUN PKR, mungkin ada sebilangan daripadanya akan mengundi Abdul Khalid. Ini mungkin membolehkan beliau mengekalkan jawatannya," katanya.