Usul yang akan difailkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di parlimen bagi mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dapat mengubah apa-apa.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berpendapat cadangan berkenaan lebih mencerminkan perasaan marah dan kecewa sesetengah pihak.

“Mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, perilaku hakim-hakim boleh dibahas kalau adanya usul yang substantif.

"Ianya merupakan hak ahli parlimen yang merasa terkilan tetàpi ianya bakal menunjukkan bahawa seolah-olah kita hanya kecewa kalau keadaan tidak memihak kepada kita dan kita menyalahkan sistem apabila tidak membawa kesudahan yang kita hendak,” kata Shahrir ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah beliau, usul juga tidak akan mengubah apa-apa selain dijadikan peluang untuk melepaskan kemarahan apabila keputusan dan sistem kehakiman tidak memihak sesetengah pihak.

Ahli Parlimen MIC Hulu Selangor yang juga merupakan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan tidak bersetuju jika usul ini dibawakan ke parlimen kerana menganggap lebih banyak isu-isu yang lebih penting yang perlu dibahas di Parlimen.

“Selalunya Dewan Rakyat akan membangkitkan isu-isu berkenaan kebajikan dan hal ehwal rakyat. Kita mahu membantu rakyat. Perlu ada sempadan di antara kepentingan rakyat dan juga kepentingan peribadi iaitu untuk membela suami.

“Malah kita telah melalui tujuh tahun (kes Liwat II) dan Anwar sendiri sudah melantik 14 peguam untuk membelanya. Kita semua harus menghormati keputusan mahkamah. Kita perlu maju ke depan kerana ada banyak lagi isu-isu lain yang perlu dibahas,” kata Kamalanathan.

Sementara itu Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata walaupun keputusan telah dicapai, ia tidak bermakna perilaku hakim tidak boleh dipersoalkan.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia telah mendapat kritikan dan kebimbangan dari organisasi seperti Inter-Parliamentary Union (IPU), Majlis Peguam dan Kedutaan Amerika Syarikat.

“Namun usul itu tidak mungkin diluluskan kerana kita (pihak pembangkang) tidak mempunyai jumlah anggota yang mencukupi,” kata Teo.

Ahli Parlimen Batu yang juga merupakan Naib Presiden PKR, Tian Chua pula berkata usul berkenaan “perlu untuk mendukung integriti sistem kehakiman Malaysia."

Malam tadi, Presiden PKR dan juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata langkah pertama yang akan diambil parti berkenaan adalah untuk menfailkan usul di parlimen bagi mengkritik perilaku hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang mengendalikan kes terbabit.

Pada siangnya, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang ketika itu berumur 23 tahun, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas Anwar.