Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri akan membentangkan usul pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan depan berhubung tuntutan semula hak Sarawak.

Adenan berkata usul itu secara spesifik akan menumpukan pada keperluan untuk kerajaan persekutuan memenuhi hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962.

"Usul akan dibentangkan oleh seorang daripada menteri (negeri)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Sarawak (PRS) kali ke-4, di sini pada Ahad.

Dewan Undangan Negeri akan bersidang dari 21 hingga 30 Nov.

Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963. Singapura keluar daripada persekutuan pada 1965.

Dalam perkembangan lain, Adenan mengumumkan kerajaan negeri sedang mengkaji untuk membina lebuh raya pesisir pantai untuk memacu pertumbuhan di kawasan-kawasan pesisir pantai di negeri ini.

Katanya Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pembangunan dan Pengangkutan Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Menteri Kewangan Kedua negeri Datuk Seri Wong Soon Koh diberi tanggung jawab untuk mengkaji perkara itu.

Mengenai permintaan supaya menambah jumlah masyarakat Dayak diambil bekerja dalam perkhidmatan awam negeri, beliau berkata Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohammad Morshidi Abdul Ghani telah diarah meneliti perkara itu.

Berhubung permintaan supaya lebih banyak kontraktor Dayak dilibatkan dalam projek Lebuhraya Pan Borneo, Adenan berkata beliau menyokong perkara itu dan berjanji akan membantu mereka.

"Tapi saya nak ingatkan kamu (kontraktor Dayak) jangan jadi "Ali Baba" (beri kepada pihak lain) selepas dapat projek," katanya. -- BERNAMA