DALAM keghairahan hadapi kedatangan Pilihanraya Umum Kali Ke -14 (PRU14), semua pihak dalam negara kita harus memastikan aspek keselamatan sentiasa dihormati dan dipatuhi pada setiap masa dan di mana - mana sahaja khususnya mereka yang paling aktif terlibat dalam proses PRU yang akan datang.

Terbaru kita telah didedahkan dengan insiden empat orang tercedera apabila sedang memasang bendera parti politik berhampiran dengan talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit Yusof, Muar, Johor.

Dalam kejadian dipercayai berlalu pada 1.30 pagi itu, kumpulan lelaki terbabit dikatakan cuba memacak tiang buluh untuk dipasang dengan bendera parti politik.

Difahamkan, empat mangsa berusia 20-an hingga 40-an terbabit dipercayai sedang mengangkat tiang buluh berkenaan sebelum secara tiba-tiba berlaku renjatan kilat hingga menyebabkan mereka terpelanting.

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki dilaporkan parah apabila patah tulang rusuk, manakala tiga lagi cedera ringan. Insiden ini jelas menunjukkan kepada kita aspek keselamatan masih dipandang ringan oleh rakyat dalam negara kita.

Malaysia Memilih, PRU14

Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dalam negara kita yang memiliki pelbagai jenis peraturan, garis panduan, serta prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan aspek keselamatan ketika ingin melakukan sesuatu jenis pekerjaan.

Dalam perkara ini, pihak majikan khususnya perlu memainkan peranan mereka dengan lebih aktif lagi dalam memastikan keselamatan pekerja mereka sentiasa kekal terpelihara.

Pihak majikan perlu memberi sebanyak yang boleh segala ilmu mengenai aspek keselamatan yang perlu dipatuhi oleh para pekerja mereka dalam menjalankan tugas.

Pihak majikan tidak boleh cuai atau lepas tangan di dalam perkara ini. Perkara ini juga jelas termaktub dibawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Akta 514) yang telah dikuatkuasakan semenjak tahun 1994 lagi.

Akta 514 terbabit telah banyak memberi fokus ke arah pembentukan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam negara kita buat sekian lama.

Seksyen 15 (1) dan (2) akta terbabit telah jelas memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan serta setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

Kewajipan lain yang diperuntukkan melalui akta terbabit juga ialah dengan memastikan pihak majikan dan orang yang bekerja sendiri menyediakan satu polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja mereka serta memastikan orang lain selain daripada pekerja mereka tidak terdedah kepada bahaya yang dihasilkan daripada aktiviti yang dijalankan di tempat kerja mereka.

Semua ini jelas termaktub dibawah Seksyen 16, 17 da18 Akta 514 terbabit.

Kegagalan mematuhi mana – mana peruntukan ini boleh menyebabkan majikan berkenaan dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau dua tahun penjara ataupun kedua-duanya seperti yang diperuntukkan dibawah Seksyen 19 akta terbabit.

Selain daripada pihak majikan, Akta 514 melalui Seksyen 24 juga memperuntukkan perkara atau tanggungjawab yang sama yang perlu diambil oleh pihak pekerja dalam menjaga aspek keselamatan di tempat kerja.

Sekiranya pekerja terbabit gagal memathui peraturan keselamatan yang telah ditetapkan, tindakkan undang - undang boleh juga diambil terhadap mereka. Jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM1000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua - duanya sekali.

Oleh yang demikian, perkara yang melibatkan aspek keselamatan di tempat kerja tidak boleh dipandang ringan oleh mana - mana pihak. Ianya hendaklah diberikan perhatian yang lebih serius dan dengan sewajarnya bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.


* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.