Pemuda UMNO Kedah menafikan sekeras-kerasnya, bahawa pergerakan itu merupakan dalang kepada tersebarnya video tular video intim yang didakwa membabitkan seorang menteri Kabinet.

Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri merasakan seluruh anggota Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia muak dengan dengan isu membabitkan skandal seks untuk ditarik sebagai isu politik.

Katanya, mereka mahu menjadi pembangkang yang berwibawa daripada melemparkan isu-isu yang tidak bermaruah.

Tuduhan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO campur tangan dalam isu itu hanyalah propaganda pihak tertentu semata-mata.

"Kita tidak terlibat pun dalam skandal ini. Pada pandangan kami, kalau saya kira semua anak muda sudah muak dengan isu-isu skandal ini untuk ditarik sebagai isu (politik) dan bagi kami (kalau) bertindak sebagai pembangkang, bertindak sebagai pembangkang berwibawa.

"Dakwaan wujud campur tangan daripada Pemuda itu saya kira hanya propaganda, dan kita tidak terlibat dengan isu-isu seperti ini," katanya.

Beliau berkata kepada media pada majlis ramah mesra bersama media dan jamuan Aidilfitri Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah di Kuala Kedah pada sabtu malam (malam tadi).

Selain itu, menurut Syed Mohd Johan Rizal, Pemuda UMNO Kedah turut mendesak kerajaan Pakatan Harapan agar mengutamakan agenda untuk memajukan negeri dan rakyat daripada mengutamakan agenda politik peribadi.

Rabu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuh beliau dan memusnahkan karier politiknya.