Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekali lagi menafikan khabar angin kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Selangor akan disingkirkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri itu.

Tegas Wan Azizah, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali telah memberi jaminan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bekerjasama dengan baik dengan PAS dan DAP yang kini bersama mentadbir negeri itu.

"Bukankah semalam Datuk Menteri Besar Azmin Ali sudah menyatakan bahawa kita (PKR, PAS dan DAP) akan bersatu dalam usaha untuk kita jatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

"Siapa yang kata? Kalau blogger-blogger ini yang cakap, ada antara mereka yang diupah untuk buat sedemikian,'" ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata kerajaan negeri Selangor kini semakin kukuh sekali gus menafikan desas-desus yang kononnya berlaku kepincangan dalam pentadbiran beliau.

Beliau mengakui masih memegang janji Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan bahawa DAP akan terus bekerjasama dalam kerangka kerjasama kerajaan Selangor kini.