Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan kenapa Pas tidak meletakkan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang ditandingi oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, pada masa sama PKR juga gagal untuk meletakkan calonnya Dr S Streram untuk bertanding selepas tidak dibenarkan masuk kerana tidak membawa pas masuk pada hari penamaan calon di Dewan Sri Rembau.

“Saya ingatkan Pas tarik diri, tapi dia memang tak bertanding,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Presiden PKR di Gedung Lalang, Ampangan di sini, petang Ahad.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Tian Chua, Pengerusi PKR Negeri Sembilan dan calon PKR DUN Ampangan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Selain itu, calon PKR Parlimen Pandan itu turut menemplak BN yang hanya dilihat bersungguh melakukan perubahan apabila ada wakil Pakatan Harapan (Harapan) bertanding.

Sambil memberi contoh di kawasan DUN Ampangan, BN serta merta memberitahu akan melanjutkan tempoh pajakan tanah milik individu yang hampir tamat tempohnya kepada 99 tahun dan itu pun selepas Harapan Negeri Sembilan menawarkan mahu mengubah status tanah terbabit kepada hak milik kekal.

“Cuba kalau kita tak bertanding? Tinggal macam itu saja.

“Itu sebab kita perlu tukar kerajaan. Cukup, cukuplah. Saya akui ia bukan kerja mudah, tapi kalau bukan sekarang bila lagi,” katanya.