Wan Saiful Wan Jan dinasihat tidak melihat isu kesihatan dari pandangan sempit selain cuba memanipulasi rakyat dalam hal berkenaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Timbalan Pengerusi Biro Dasar Bersatu itu seolah-olah senjaga mengelirukan masyarakat dan mempolitikkan soal kesihatan.

"Dalam keghairahan Wan Saiful hendak memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional dengan harapan untuk menjadi Ahli Parlimen pada pilihan raya akan datang, beliau nampaknya sudah tidak boleh lagi membezakan antara fakta dan persepsi.

"Untuk pengetahuan Wan Saiful, kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap kesejahteraan dan kesihatan rakyat. Malah kerajaan berusaha keras untuk memberikan perlindungan kesihatan yang terbaik bagi rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Wan Saiful di dalam sebuah portal dilaporkan berkata, BN gagal mengurus kewangan negara dengan baik sehingga kesihatan rakyat berisiko, terutama sekali golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur diabaikan.

Beliau mendakwa menerima sepucuk salinan surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan kepada Pegawai-Pegawai Kesihatan Daerah Titiwangsa, Kepong, Cheras, Putrajaya dan Lembah Pantai.

Surat itu dakwa Wan Saiful menyatakan bahawa pemotongan bajet kesihatan oleh UMNO menyebabkan pesakit kencing manis di kawasan-kawasan tersebut hanya boleh menjalani satu sahaja ujian HbA1c tahun ini.

Dalam pada itu tegas Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, di bawah Bajet 2018, kerajaan telah mengagihkan sejumlah RM27 bilion bagi sektor kesihatan yang merangkumi kos bagi pembelian bekalan perubatan, khidmat sokongan perubatan dan pembinaan fasiliti perubatan.

"Pengagihan belanjawan bagi sektor kesihatan tidak pernah dikurangkan, malah ia sentiasa meningkat.

"Bajet sektor kesihatan tahun 2014 iaitu RM22 billion telah meningkat sehingga mencecah RM27 billion pada tahun 2018.

"Sama ada Wan Saiful sedar atau tidak, peruntukan Bajet bagi sektor kesihatan adalah yang kedua terbesar selepas sektor pendidikan. Dakwaan pemotongan bajet kesihatan seperti yang dikatakan oleh Wan Saiful ternyata suatu dakwaan yang tidak tepat," jelasnya.

Tambah Johari, pengagihan bajet kerajaan bagi sektor kesihatan memberi penekanan kepada seluruh spektrum penjagaan kesihatan iaitu dari segi pencegahan, pengurangan risiko, saringan, rawatan kuratif, ujian pengesahan, rawatan susulan serta kawalan dan rawatan komplikasi penyakit.

Katanya, usaha kerajaan bagi sektor perubatan bukan terhad kepada pengagihan bajet sahaja malah ianya merangkumi usaha-usaha membina dan menaik-taraf hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan di seluruh negara.

"Setakat 2017, kerajaan telah membina, menaik-taraf dan membesarkan lebih 144 hospital yang menyediakan 41,995 katil pesakit, 1,060 klinik-klinik kesihatan, 1,800 klinik-klinik desa dan juga 357 klinik-klinik 1Malaysia.

"Di samping itu, kerajaan juga telah menambahkan penjawatan pakar-pakar perubatan di Kementerian Kesihatan dari 3,380 pakar pada tahun 2012 ke 4,970 pakar pada tahun 2017.

"Ini tidak termasuk bakal-bakal doktor yang sedang dilatih di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan di luar negara," jelasnya.

Ujarnya, semua fakta-fakta itu merupakan bukti Kerajaan BN amat mengambil berat akan keadaan kesihatan rakyat tanpa mengira bangsa, keturunan, umur atau pegangan politik.

"Tidak pernah kerajaan meletakkan rakyat dalam sebarang keadaan risiko seperti yang di dakwa oleh Wan Saiful.

"Sepatutnya, sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, Wan Saiful patut turut serta dalam usaha Kerajaan untuk menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, pemakanan seimbang dan kerap melakukan senaman untuk mengelakkan penyakit-penyakit yang serius seperti masaalah buah pinggang, kencing manis dan sebagainya.

"Wan Saiful tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dan populis dengan hanya melontarkan segala masalah kesihatan rakyat kepada kerajaan," katanya.

Johari turut menasihatkan Wan Saiful agar rajin turun ke padang dan berjumpa dengan rakyat.

"Jika anda benar-benar ingin menjadi ahli politik yang berwibawa, turun padang dan bukan hanya cuba menjadi hero apabila tiba piliharan raya sahaja," jelasnya.