Anggota UMNO perlu memiliki motivasi yang tinggi untuk terus berjuang demi kelangsungan parti, kata Ketua Wanita Datuk Dr Noraini Ahmad.

Katanya, Wanita UMNO melihat tindakan keluar parti beramai-ramai pemimpin UMNO Sabah itu pada Rabu satu petanda bahawa proses pengislahan (reformasi) wajar dipandang serius.

"Apa yang berlaku di Sabah pada hari ini boleh diistilahkan sebagai 'wake-up call' bahawa, motivasi semakin menipis di kalangan ahli. Punca berlakunya hal ini perlu segera dicari dan diatasi.

"Apabila itu terus berlaku, ahli tidak akan mampu lagi menghayati konsep kesetiaan sepanjang hayat iaitu lahir, membesar dan meninggal dunia bersama-sama parti keramat ini," katanya dalam satu kenyataan.

BACA: UMNO Sabah tidak terbubar, Bung Moktar dilantik pengerusi

Menurut Ahli Parlimen Parit Sulong itu, semua anggota UMNO dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi perlu bermuhasabah diri dan melakukan perubahan holistik untuk mengukuhkan parti.

"Meski tindakan keluar parti beramai-ramai ini sudah dijangka, saya berdoa semoga ia bukanlah cerminan atau terjemahan keputusan yang mewakili seluruh ahli di peringkat akar umbi di Sabah.

"Bahkan, saya berharap semoga keputusan yang diambil hari ini (Rabu) tidak akan melumpuhkan UMNO di Sabah," kata Noraini.

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

Pada Rabu, lima Ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator mengumumkan langkah meninggalkan UMNO.

Susulan itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkuatkuasa Rabu, menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, salah seorang yang keluar parti.