Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan parti sekutu yang lain akan bekerja keras bagi memastikan Parlimen Sandakan tidak 'beralih tangan' kepada pihak pembangkang dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 11 Mei hadapan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, untuk itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan semua parti yang terlibat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hal tersebut.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah itu berkata, kerusi terbabit merupakan milik DAP susulan kematian penyandangnya sebelum ini, mendiang Datuk Stephen Wong yang meninggal dunia pada 28 Mac lalu.

"Kita akan adakan pertemuan dan perbincangan dengan semua pimpinan parti yang terbabit.

"Kerusi ni merupakan kerusi DAP dan saya telah pun berbincang dengan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan nyatakan apa langkah yang kita akan lakukan, kita akan usahakan untuk merayu kepada pengundi di kawasan Parlimen Sandakan untuk pastikan mereka akan dapat bersama-sama kita, "katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 di pusat beli belah Suria Sabah, Kota Kinabalu, pada Ahad.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Sandakan itu kosong selepas penyandangnya yang juga Pengerusi DAP Sabah, Stephen meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Stephen yang menyandang Ahli Dewan Rakyat atas kerusi Parlimen P.186 Sandakan sejak 2013 dan memegang jawatan sebagai lantikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah selepas PRU-14 lalu.

Dalam PRU14 yang lalu, mendiang menang atas tiket DAP dengan majoriti 10,098 mengalahkan calon BN, Datuk Lim Ming Ho dengan jumlah keseluruhan 19,094 undi.

Sementara itu, Mohd Shafie merakamkan penghargaan kerana usaha kementerian pelancongan berjaya memartabatkan industri seni kreatif dalam produk tekstil dan batik yang dipamerkan Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 kali ini.

Dalam festival itu, seramai 87 usahawan tempatan mengambil tempat untuk mempamerkan produk mereka yang melibatkan produk kraf tekstil tradisi seperti Tenunan Dastar, Tenunan Sambitan Atau Siambitan, Tenunan Rungus dan Sulaman Pis manakala bagi negeri Sarawak pula ialah Songket Sarawak, tenunan Pua Karap dan Batik Linut.