Kemajuan teknologi aplikasi mesej seperti WhatsApp telah membuka lembaran baharu dalam komunikasi masa kini.

Dengan ciri seperti WhatsApp Group, komunikasi antara ahli komuniti setempat menjadi tidak terbatas dan pantas.

Lebih-lebih lagi fungsinya amat diperlukan sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, khususnya ketika gerak kerja pelbagai parti politik perlu dilaksanakan secara berpasukan, selain menjadi medium penyebaran maklumat.

Astro AWANI menjengah ke Wangsa Maju bertemu penduduk bagi mengetahui pengaruh penyebaran maklumat melalui aplikasi tersebut.

Bagi Shamsuddin Hussain, kemampuan WhatsApp dalam penyebaran maklumat diakui membawa impak besar dalam cara penyebaran maklumat.

"Bagi Majlis Perwakilan Penduduk di sini, WhatsApp Group ini penting terutamanya dalam menyebarkan maklumat tentang program pada saat-saat akhir.

"Kalau nak kata dari segi pengaruh, saya percaya semua ahli dalam kumpulan mempunyai pandangan yang sendiri.

"Setakat berkongsi pandangan dan berbincang mengenai isu memang ada tetapi sebagai kumpulan dalam komuniti, kami tidak menggalakkan sembang melibatkan hal politik," katanya.

Pandangannya turut dikongsi Md Zain Salleh, seorang Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk di salah satu zon di Wangsa Maju.

"WhatsApp Group ini penting bagi menjaga kesatuan setempat. Itu yang utama.

"Kami tidak gemar pergaduhan atau perbalahan. Kalau untuk berbincang dan berhujah, boleh, tetapi jangan sampai bergaduh," katanya.

Beliau mengakui bahawa kadang-kadang ada mesej berbaur politik yang dimasukkan, namun perkara tersebut akan ditegur secara berhemah.

"Semua ada pendirian masing-masing. Jadi, lebih baik kita mengutamakan kebaikan dan kesatupaduan komuniti itu sendiri," katanya.