Pengerusi Amanah Negeri Johor, Aminolhuda Hassan mengakui ada pihak yang menawarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah untuk membentuk kerajaan campuran.

Tanpa menjelaskan butiran tawaran tersebut, beliau menegaskan Amanah tidak akan sesekali menggadaikan prinsip dan matlamat untuk kekal bersama Pakatan Harapan.

“Ya, memang saya ada menerima panggilan dan kita tidak nafikan adanya proses rundingan dan tawar-menawar.

“Tetapi, saya yakin kita ada prinsip dan matlamat yang kita hendak membentuk kerajaan, jadi kita yakin dan percaya akan matlamat untuk kekal bersama PH,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Bagi Amanah, apa yang penting adalah memastikan ketenteraman rakyat dan perjalanan pentadbiran negeri dapat terus bergerak.

Mengulas lanjut, Aminolhuda menambah semua ADUN Amanah termasuk speaker telah menandatangani akuan bersumpah untuk kekal setia bersama Pakatan Harapan.

Pada Selasa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad mendakwa telah mendapat persetujuan untuk mewujudkan kerajaan campuran.

Bagaimanapun, Aminolhuda menyatakan bahawa kenyataan itu hanyalah satu bentuk provokasi untuk memecahbelahkan Pakatan Harapan.