Parti Gerakan menegaskan parti itu bukan sekadar boneka Barisan Nasional (BN) yang dikatakan gagal menjadi anggota komponen yang berfungsi.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata parti itu telah bekerja keras dan akan memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.

"Kami mengakui ada beberapa kelemahan dahulu. Beberapa tahun lalu, kita kuatkan segala kelemahan bukan sahaja di kerusi yang kita tandingi tetapi juga kerusi yang kita tidak bertanding.

"Semua bahagian kita telah arahkan supaya aktifkan organisasi untuk memastikan jentera pilihan raya BN secara keseluruhan dapat diperkuatkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Gerakan Pusat di Menara PGRM hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan wartawan susulan kenyataan beberapa perwakilan UMNO yang menyuarakan isu kelemahan sekutu parti itu semasa mesyuarat jawatankuasa bahagian.

Jelas Mah, Gerakan turut memperkuatkan hubungan dengan akar umbi dan parti politik komponen lain untuk berdepan pilihan raya akan datang.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa BN Selangor menzahirkan perkongsian kuasa dengan merampas semula negeri itu daripada pembangkang pada PRU14.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno dan menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, ini kerana PRU lalu jelas menunjukkan sokongan kaum bukan Melayu terhadap BN semakin berkurangan manakala sokongan Melayu pula meningkat.