Yamani Hafez Musa telah diberi notis untuk hadir ke Dewan Rakyat pada 7 Januari ini bagi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sipitang.

Menurut satu jemputan media yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen pada Jumaat, Yamani Hafez perlu hadir ke Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat di Kamar Khas pada pukul 10 pagi, mengikut tarikh yang dinyatakan.

Mengikut laporan media, Yamani Hafez mempunyai tempoh sehingga 15 Januari ini untuk mengangkat sumpah sebelum kerusi itu diisytiharkan kosong.

Pada Oktober tahun lepas, Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof telah mengingatkan anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman itu untuk tampil mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat sebelum hilang kelayakan.


Beliau berkata isu itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan dan Yamani Hafez patut sedar akan tanggungjawabnya.

BACA: Yamani Hafez diingatkan agar angkat sumpah jawatan


Menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, seseorang anggota Parlimen yang dipilih perlu mengangkat sumpah jawatan dalam tempoh enam bulan dari tarikh Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama.

Sebelum ini media melaporkan Yamani Hafez antara empat Ahli Parlimen UMNO di Sabah yang bertindak meninggalkan parti itu pada Disember lepas.

Turut bersama-sama meninggalkan parti tersebut melalui gerakan yang diketuai Datuk Hajiji Mohd Noor itu, ialah sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.