Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan keperluan sebuah gabungan baharu untuk menggantikan Barisan Nasional (BN) yang sudah ditolak pengundi Malaysia pada pilihanraya umum ke-14 lepas.

Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO itu berkata, gabungan baharu itu boleh dianggotai parti-parti berasaskan kaum, dan seperti BN ia harus mengutamakan kemajmukan masyarakat negara ini tanpa melupakan kepentingan kaum masing-masing.

"Sebuah gabungan atau parti yang serupa dengan BN perlu dibentuk agar semua pihak diletakkan di bawah satu bumbung dan bekerjasama untuk membentuk kerajaan yang akan datang.

"Kita harus akui bahawa kita tidak boleh berdasarkan perjuangan parti hanya kepada asas perkauman," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Menara Dato Onn hari ini.

Bagaimanapun, bekas timbalan perdana menteri itu berkata isu itu harus dirunding bersama parti-parti komponen lain.

"Oleh demikian kita perlu mendapatkan mandat daripada rakan-rakan bahagian supaya kita lihat semula sama ada soal persamaan dan juga percantuman pelbagai parti politik yang akan dibentuk, sama ada dengan pengisian baru akan dilakukan.

"Biarpun UMNO adalah parti untuk orang Melayu kita harus bekerjasama dengan parti bangsa lain," katanya.

Dalam itu, menjawab soalan wartawan mengenai cadangan calon Presiden Khairy Jamaluddin untuk membuka keanggotaan UMNO kepada kaum lain, Ahmad Zahid berkata Khairy boleh cuba melaksanakan cadangan itu jika dinobatkan pemenang Sabtu depan.

"Saya ingin melihat sama ada dia boleh menterjemahkannya atau tidak, kerana Datuk Onn Jaafar cuba membuka keahlian UMNO, (dan kemudian) apa yang telah berlaku kepadanya. Sejarah telah menceritakan mengenainya,

Cadangan Onn pada awal penubuhan UMNO itu telah ditolak pemimpin parti lain menyebabkan beliau keluar UMNO dan membentuk dua lagi parti politik lain termasuk Parti Negara.

Namun parti itu tidak bertahan lama dan perjuangannya terkubur.

BN yang memerintah enam dekad mencatatkan prestasi terburuknya pada PRU14 apabila gagal memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Ia juga hanya mampu mempertahankan dua kerajaan negeri iaitu Perlis dan Pahang.



-- BERNAMA