KUALA LUMPUR:Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mewakili semua ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan petugas barisan hadapan susulan peningkatan kes baharu COVID-19.

Menerusi ciapan terbaharu di Twitter, Ahmad Zahid yang menyatakan kebimbangan mengenai situasi terkini COVID-19 yang disifatkan membimbangkan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, berkata ia bukan pilihan BN.

"Kedudukan terkini COVID-19 amat merisaukan. Mewakili UMNO/ BN mohon maaf kepada rakyat dan frontliners berikutan peningkatan wabak akibat PRN Sabah yang diadakan bukan pilihan awal BN.

"Ahli dan jentera BN pada PRN Sabah perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya.



Pada masa sama, Zahid turut berpesan agar orang ramai menjaga diri dan berdoa kepada Allah supaya wabak ini akan berakhir.i.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan terdapat penambahan 260 kes baharu pada Khamis.