Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa beliau telah bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg, dan merayu agar Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak meninggalkan komponen itu.

Malah, laporan mengenai PBB telah meninggalkan BN juga adalah di luar pengetahuan beliau, katanya.

"Namun saya amat menghormati dan mengalu-alukan pendirian PBB dan parti-parti komponen BN Sarawak yang berhasrat menjalin hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

"BN sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN untuk mengambil langkah yang sama demi kepentingan negeri dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dengan kenyataan ini, beliau berharap tidak ada pihak yang melaporkan berita secara serkap jarang dan tidak profesional.

BACA: Komponen BN Sarawak dijangka umum perikatan lokal

BACA: 'PBB Sarawak tiada pilihan kecuali keluar BN' - Jeneri Amir

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan PBB, parti tonggak BN Sarawak yang membentuk Kerajaan Negeri, akan meninggalkan pakatan itu.

Laporan itu turut mendakwa Abang Johari ke Putrajaya pada 31 Mei lepas, bagi memaklumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentang keputusan parti itu untuk meninggalkan BN.