Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak untuk tidak berundur daripada kedudukan nombor satu itu meskipun berdepan pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata saranan beliau yang meminta Ahmad Zahid bercuti merujuk kepada situasi yang pernah berlaku sebelum ini.

“Itu pandangan setengah pihak dan ikut apa yang pernah berlaku sebelum ini, pemimpin yang terlibat kes mahkamah selalunya berundur semasa kes mereka berjalan.

“Tapi itu dia (Zahid) punya hak saya nasihatkan untuk gerakkan parti tidak ada kena mengena dengan soal lain,” katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Sebelum ini Ahmad Zahid menegaskan akan mempertahankan kedudukannya sebagai pemimpin parti pembangkang itu.

Cadangan untuk Zahid direhatkan sementara daripada jawatan presiden dibangkitkan Pemuda UMNO.

Ditanya sama ada keputusan Zahid akan menjejaskan kepercayaan ahli akar umbi terhadap parti jawabnya perkara itu akan diteliti kelak.

Ahmad Zahid menghadapi 45 tuduhan di mahkamah membabitkan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan ubah wang haram membabitkan nilai RM114 juta.