Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2018 menyaksikan kejutan apabila dua pimpinan tertinggi parti itu tewas pada pemilihan yang diadakan hari ini.

Zairil Khir Johari dan P. Ramasamy yang memegang jawatan Naib Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang kalah mengejut pada pemilihan 15 anggota jawatankuasa DAP Pulau Pinang.

Kekalahan Zairil yang juga Pengerusi Kerja Raya Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang dianggap mengejut kerana beliau merupakan antara pemimpin yang mewakili suara Melayu dalam parti DAP.

Pada pemilihan di Hotel Equatorial, ADUN Tanjong Bungah itu memperoleh 328 undi, kurang lapan undi daripada Phee Boon Chee yang menduduki tempat terakhir dalam barisan jawatankuasa itu.

Selain Zairil, mereka yang tewas ialah P. Ramasamy, Lim Siew Khim, A.Tanasekharan, RSN Rayer dan Kasthuririani Patto.

Ketika ditemui selepas keputusan diumumkan, Zairil kelihatan tenang dan berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh 798 perwakilan itu dan menganggap ia sebagai lumrah dalam politik.

Katanya ia adalah proses demokrasi dan tidak menafikan melihat pertandingan kali ini amat sengit.

"Itu lumrah politik, kadang kala menang kadang kala tak menang. Tapi saya nampak persaingan sengit walaupun tak berjaya, saya hormati keputusan itu.

"Kita tengoklah, masih belum berakhir lagi sebab ada jawatankuasa boleh buat lantikan lagi, jadi kita tunggu lepas lantikan dibuat," kata Zairil.

Bagaimanapun, beliau percaya akan terpilih menganggotai lima ahli jawatankuasa tambahan yang akan dibuat kelak.

Untuk rekod, ini kali ketiga beliau bertanding dalam barisan jawatankuasa DAP negeri.

Sementara itu, Zairil dan Ramasamy dilantik semula memegang jawatan Naib Pengerusi Parti manakala Chow Kon Yeow masih kekal sebagai Pengerusi DAP negeri.

Chow memegang jawatan itu sejak 1999.

Berikut senarai baharu anggota Jawatankuasa DAP Negeri Pulau Pinang termasuk lima yang dilantik secara co-opt.


PENGERUSI: Chow Kon Yeow

TIMBALAN PENGERUSI: Jagdeep Singh Deo

NAIB PENGERUSI: P.Ramasamy (Co-Opt) dan Zairil Khir Johari (Co-Opt)

SETIAUSAHA: Lim Hui Ying

PENOLONG SETIAUSAHA: Yeoh Soon Hin

BENDAHARI: Wong Hon Wai

PENOLONG BENDAHARI: Law Heng Kiang

SETIAUSAHA ORGANISASI: H'ng Mooi Lye

PENOLONG SETIAUSAHA ORGANISASI: Lay Hock Peng dan Teh Lai Heng

SETIAUSAHA PUBLISITI: Sim Chee Keong

PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI: Syerleena Abdul Rashid (Co-Opt)

PENGARAH PENDIDIKAN POLITIK: Soon Lip Chee

AHLI JAWATANKUASA: Phee Boon Poh, Ramkarpal Singh, Ng Wei Aik, Phee Boon Chee, RSN Rayer (Co-Opt) dan Lim Siew Khim (Co-Opt)