WAYNE Rooney percaya bahawa tahun 2018 adalah detik terbaik buat England menamatkan penantian 52 tahun untuk menjulang Piala Dunia sekali lagi.

Bekas kapten England itu, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat The Three Lions, mewakili pasukan negaranya buat kali terakhir pada November 2016.

Sejak itu, nasib England telah berubah di bawah kendalian Gareth Southgate, individu yang mengemudi The Three Lions sehingga ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 dan bakal bertemu Colombia, awal pagi Rabu ini.

Rooney, yang baru menyertai kelab Liga Bolasepak Utama (MLS), DC United, menerusi kontrak selama tiga setengah tahun, berpendapat anak-anak buah Southgate memiliki kriteria untuk menyamai pencapaian skuad 1966, di mana England menjulang Piala Dunia di laman sendiri.

“Terdapat beberapa pasukan gergasi yang tersingkir daripada Piala Dunia dan ia mungkin menjadi peluang England untuk melangkah jauh dan bergelar juara,” katanya.

England tampil cemerlang dalam dua perlawanan pertama, menundukkan Tunisia dan Panama, sebelum ditundukkan Belgium 1-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Rooney tidak mengendahkan kekalahan itu kerana percaya ia merupakan sebahagian daripada perancangan untuk menghadapi aksi seterusnya dalam kejohanan.

“Saya rasa mereka beraksi cemerlang dan hebat dalam dua aksi awal.

“Sesuatu yang bagus apabila melihat ramai pemain muda yang bertenaga, memberikan tekanan tinggi serta menjaringkan gol.

“Ia satu detik menggembirakan untuk menjadi peminat England.

“Aksi berdepan Belgium mungkin menjadi pertemuan di mana tiada siapa yang mahu menang dan kekalahan dilihat memberikan kelebihan buat England dalam saingan Piala Dunia, di mana mereka diundi dalam undian yang tepat," ujarnya.