Sebanyak 3,500 peserta dari 57 negara Islam dijangka menyertai Sukan Belia Islam Dunia (WYISG) yang akan berlangsung buat julung kalinya di sini, tahun depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata kejohanan dari 15 hingga 23 Oktober itu bakal disertai atlet negara Islam meliputi benua Asia, Timur Tengah, Afrika, sebahagian Timur Eropah dan Amerika Selatan.

Beliau berkata kejohanan itu dianjurkan secara eksklusif untuk golongan muda berusia antara 16 dan 22 tahun.

"Sebanyak 11 acara bakal dipertandingkan iaitu olahraga, akuatik, memanah, badminton, ekuestrian, bola sepak, hoki, boling, taekwondo, bola tampar dan sepak takraw," katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran WYISG 2016 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kejohanan itu merupakan platform terbaik untuk menyatukan saudara belia Islam di samping mengukuh dan meningkatkan hubungan baik dalam kalangan negara Islam.

Idris berkata penganjuran kejohanan itu dijangka berjalan lancar kerana Melaka sudahpun mempunyai lokasi dan kemudahan yang digunakan semasa Sukan Malaysia 2010.

"Melaka mempunyai fasiliti yang baik dan saya yakin kita mampu menganjurkan sukan bertaraf dunia ini," katanya.

Beliau berkata usaha serius sedang dijalankan bagi merealisasikan sukan itu bagi memberi keselesaan kepada peserta di samping menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

"Selain sebagai satu temasya sukan, kejohanan ini juga memainkan peranan penting dalam usaha kita menarik kedatangan pengunjung melalui pelancongan sukan," katanya.