PETARUNG dari Kedah ini muncul pada perlawanan pertamanya di 'ONE: Destiny Of Champions' dengan mengalahkan Stergos 'Greek Dynamite' Mikkios dalam perlawanan ONE Super Series Muay Thai bantamweight melalui pusingan saringan awal.

Berikut adalah empat perkara yang anda perlu tahu mengenai petinju sensasi terbaharu negara dalam seni mempertahankan diri, Mohammed Mahmoud.

1. Pandai bergaya

Rakyat Malaysia sangat gemarkan fesyen, maka tidak hairanlah jika penampilan Mohammed sentiasa menjadi perhatian ramai.

Sepanjang kariernya dalam Muay Thai, petinju berusia 22 tahun ini sering menyarungkan jubah tinju yang bergaya, menggayakan dandanan rambut berbeza dan mempunyai tatu palsu yang tertera namanya, 'Jordan Boy'.

BACA: Jordan Boy menang pertarungan sulung di ONE Championship

“Gaya adalah sangat penting pada saya dan sepanjang minggu lalu ketika bersama ONE Championship, saya perlu tampil terbaik,” katanya.

2. Gemar meluangkan masa bersama ayahnya

Sekiranya ada masa lapang dan tidak sibuk dengan latihannya beliau, gemar meluangkan masa dengan insan yang sangat bermakna dalam hidupnya – iaitu ayahnya, Mahmoud Omar.

Ayah beliau memiliki sebuah syarikat pembinaan dan sentiasa menyokong kerjaya anaknya. Mengikut jejak langkah ayahnya, dia turut melakukan perkara yang sama.

Sekiranya diperlukan, Mohammed sering membantu ayahnya mengangkat peralatan dan perkakasan pembinaan.

“Ayah adalah seorang yang kental. Beliau bekerja tanpa mengenal erti penat demi menyediakan keperluan kami semua dan saya sering membantu ayah sejak hari pertama.

“Beliau sentiasa memberikan sokongan sepanjang karier Muay Thai saya dan jalan terbaik untuk membalas jasa ayah adalah dengan memberikan persembahan yang terbaik pada 7 Disember ini dan membantunya dengan perkara-perkara yang menjadi kepakaran beliau,” katanya.

3. Sukakan permainan video

Seperti anak muda lain, Mohammed gemar bermain permainan video — terutamanya Mobile Legends.

Walaupun sudah tidak terlalu kerap bermain demi mempersiapkan diri untuk kemunculan pertamanya di ONE Super Series, Mohammed ini mengakui, beliau gemar menghabiskan masa terluang dengan bermain permainan video.

"Selain berlatih Muay Thai dan juga menolong di rumah, saya gemar bermain permainan video dalam telefon bimbit,” jelasnya.

Dengan wang kemenangan daripada perlawanannya, beliau berharap dapat menambah koleksi permainan video.

4. Idolanya bertarung di ONE

Dengan 98 kemenangan sepanjang karier profesionalnya, tidak hairanlah apabila Mohammed menyebut petinju kelahiran Armenia yang berasal dari Itali, Giorgio Petrosyan, yang juga pesaing ONE Super Series, sebagai hero seni mempertahankan diri beliau.

“Beliau adalah yang terbaik dalam sukan ini,” katanya.

“Adalah menjadi satu penghormatan untuk berkongsi dan berada di bawah organisasi yang sama dengan idola saya dan saya tidak sabar untuk bertemu dengan beliau satu hari nanti.”