Kira-kira 6,000 peserta tempatan dan luar negara dari Indonesia, Thailand dan Singapura dijangka menyertai Maraton Antarabangsa Sungai Melaka edisi kedua yang akan diadakan 20 Disember ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata perlumbaan itu diadakan sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2015.

Beliau berkata terdapat 13 kategori mengikut piawaian penganjuran antarabangsa ditetapkan dengan jarak 42 kilometer (km), 21km, 10km dan 5km bermula di pekarangan Kota A'Famosa, Bandar Hilir di sini.

"Kesemua kategori terbuka kepada peserta berusia 13 tahun dan ke atas, manakala yuran penyertaan adalah antara RM40 dan RM90.

"Sehingga kini, lebih 2,000 penyertaan diterima dari dalam dan luar negara dan dijangka penyertaan tersebut akan meningkat sebelum larian itu berlangsung.

Permohonan melalui dalam talian masih dibuka sehingga 19 Disember," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Zainal Hussin.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pesisiran Sungai Melaka menjadi laluan wajib bagi kesemua kategori maraton dalam usaha mempromosikan sungai negeri pelancongan itu kepada peserta tempatan dan luar negara.

"Pemenang ditawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM100,000 dan hadiah cabutan bertuah bernilai RM20,000 termasuk motosikal, basikal, barangan elektrik, baucer penginapan hotel dan hamper," katanya.

Beliau berkata penaja utama larian itu adalah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama pelbagai agensi, syarikat dan badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Olahraga Amatur Melaka, Garmin dan Mamee.