Enam puluh pasukan dari dalam dan luar negara bersaing pada Kejohanan Dart Antarabangsa Terbuka Sabah di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, yang memulakan saingan hari ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata peserta luar negara yang mengambil bahagian pada kejohanan selama tiga hari itu ialah dari Singapura, Filipina dan Brunei.

Beliau berkata juara kategori berpasukan bakal membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta trofi, manakala naib juara akan menerima RM3,000 berserta trofi.

"Pemenang kategori perseorangan lelaki akan memperoleh hadiah wang tunai RM1,200 berserta trofi, manakala juara kategori perseorangan wanita akan membawa pulang wang tunai RM800," katanya ketika merasmikan kejohanan itu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yeo berkata kejohanan berkenaan dapat memainkan peranan penting memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta dan menggalakkan aktiviti pelancongan di Sabah.

Selain menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa anjuran DBKK itu, beliau berkata peserta turut berpeluang melancong di beberapa tempat menarik di sekitar bandar raya berkenaan.

"Pada masa sama peserta dapat melihat dan merasakan semangat 1Malaysia diamalkan oleh penduduk Kota Kinabalu yang terdiri daripada berbilang bangsa," katanya.

-- BERNAMA