AC Milan digantung setahun daripada menyertai bola sepak Eropah selepas didapati bersalah melanggar peraturan Financial Fair Play.

Bermakna, Milan yang menamatkan Serie A di tempat kelima musim lepas terpaksa berehat seketika dan terlepas daripada Liga Europa musim depan.

Menurut Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), badan induk bola sepak Eropah UEFA akan menamatkan prosiding terhadap kelab Itali itu kerana perbelanjaan melampau.

“AC Milan dikecualikan daripada pertandingan kelab-kelab UEFA untuk musim 2019/2020,” kata CAS.

Tempat Milan akan diganti dengan Torino yang menamatkan musim lepas di tangga ketujuh Serie A, sementara AS Roma di tempat keenam sudah terlebih dahulu melayakkan diri.

Sebelum ini, Milan berjaya membuat rayuan ke atas penggantungan dua tahun oleh UEFA tahun lepas selepas didapati bersalah melanggar peraturan perbelanjaan antara tahun 2015 dan 2017.

Di bawah peraturan UEFA, mana-mana kelab yang mencatat kerugian melangkaui had yang dibenarkan melebihi tiga tahun berdepan sekatan atau penggantungan mengikut keadaan.

Milan dapat menyertai Liga Europa musim lepas - tersingkir di peringkat kumpulan - selepas membuat rayuan kepada CAS, dengan memujuk mereka bahawa kelab akan memperbaiki kewangan mereka di bawah pemilikan baharu.