Berita  | Sukan

Acara tinju kekal dalam Sukan Olimpik 2020

Acara tinju kekal dalam Sukan Olimpik 2020
Bach berkata status pengiktirafan penuh AIBA akan dikaji semula selepas temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Gambar fail
ANKARA: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu mengumumkan bahawa acara tinju harus mengekalkan tempatnya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 namun bukan di bawah seliaan Persatuan Tinju Antarabangsa (AIBA), lapor agensi berita Turki Anadolu.

"Lembaga Eksekutif IOC (EB) memutuskan bahawa acara tinju mengekalkan tempatnya dalam program sukan bagi temasya Olimpik Tokyo 2020," kata Presiden IOC Thomas Bach dalam sidang media di bandaraya Lausanne, Switzerland.

Bach berkata keputusan itu memihak kepada atlet sambil menambah bahawa terdapat satu sistem kelayakan yang sesuai untuk para petinju.
"Kami ingin memastikan bahawa semua atlet mampu menggapai impian mereka dan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada masa sama mendatangkan kesan yang sewajarnya kepada AIBA," kata Bach.

Lembaga itu mencadangkan agar hak AIBA dilucutkan daripada menganjurkan perlawanan tinju amatur selepas satu laporan mendedahkan bahawa terdapat percanggahan dari segi perundangan dan kewangan dalam barisan kepimpinannya.

"Pada masa yang sama, kami menawarkan satu jalan bagi menarik balik penggantungan itu namun terdapat keperluan untuk melakukan perubahan asas yang lebih lanjut."

Beliau juga menyatakan bahawa status pengiktirafan penuh AIBA akan dikaji semula selepas temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-- BERNAMA