Pasukan Petronas Sprinta Racing mengalami tamparan hebat selepas Adam Norrodin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada perlumbaan Moto2 Grand Prix (GP) Aragon di Sepanyol hujung minggu ini.

Pelumba berumur 21 tahun kelahiran Johor yang menggantikan Khairul Idham Pawi itu mengalami kecederaan di bahu kiri selepas terbabit dalam kemalangan semasa latihan bebas kedua di Litar Aragon Motorland hari ini.

Adam berkata beliau masih merasa sakit di bahagian bahu walaupun disahkan mampu berlumba (fit) oleh petugas perubatan di litar, untuk mengambil bahagian dalam sesi latihan bebas ketiga.

"Mustahil untuk menunggang dalam keadaan sakit ini, kerana kawasan untuk brek meletakkan banyak tekanan kepada bahu. Saya mohon maaf kepada pasukan, kita ada banyak perkara yang perlu dipelajari bersama," menurut Adam dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan berkenaan.

Pengarah pasukan Petronas Sprinta Racing, Johan Stigefelt berkata pasukan itu menghormati keputusan Adam untuk menarik diri.

"Kami cuba beberapa pusingan pagi ini tapi nampak tidak menjadi, walaupun pusat perubatan memutuskan dia boleh beraksi. Trek ini memberikan banyak tekanan kepada bahagian bahu anda, jadi ia keputusan yang tepat untuk tidak berlumba, bagi mengelak risiko menjadikan ia bertambah buruk," tambah Stigefelt added.

Pasukan itu masih belum mengumumkan nama pelumbanya untuk saingan perlumbaan Moto2.

-- BERNAMA