Sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-81 sudah memadai untuk Malaysia melakar kemenangan 1-0 ke atas Laos dalam perlawanan kedua saingan kumpulan J, Kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Safawi yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-54, memberi impak yang besar kepada persembahan pasukan, terutama sekali pada bahagian sayap kanan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada Ahad, Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee membuat lima pertukaran pada kesebelasan utama.

Pertukaran itu menyaksikan skuad negara gagal mempamerkan persembahan yang meyakinkan untuk mengatasi Laos.

Ketiadaan Nik Akif Syahiran dan Muhammad Daniel Amier Norhisham di bahagian tengah amat dirasai skuad kebangsaan yang gagal mempamerkan persembahan yang menarik.

Kemenangan kedua ini selepas kejayaan menewaskan Filipina 3-0 pada Jumaat, membantu skuad Kim Swee mengutip enam mata, namun di menduduki tempat kedua di belakang China, yang mendahului dengan kelebihan jaringan.

China yang dikendali bekas jurulatih Rusia dan Korea Selatan, Guus Hiddink melakar kemenangan besar, 5-0 ke atas Laos dan 8-0 ke atas Filipina.

Malaysia akan berdepan China pada 26 Mac, jam 8:45 malam di Stadium Shah Alam.

Kemenangan akan memastikan Malaysia layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan yang akan diadakan di Thailand tahun depan.

Empat pasukan terbaik di tempat kedua daripada kesemua 11 kumpulan peringkat kelayakan turut akan layak secara automatik.

Oleh itu, Malaysia perlu menang ke atas China atau memastikan jumlah perbezaan jaringan yang besar untuk memastikan skuad negara layak ke kejohanan itu.