Berita  | Sukan

#AFCB23: China nafi kemenangan Malaysia di Stadium Shah Alam

#AFCB23: China nafi kemenangan Malaysia di Stadium Shah Alam
Malaysia seri 2-2 menentang China dalam aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 pada Selasa. -Foto FAM.org.my
SHAH ALAM: Malaysia sudah berikan lebih daripada 100 peratus namun tuah tidak menyebelahi mereka.

China menafikan peluang Malaysia untuk muncul juara kumpulan J Kelayakan Kejohanan Bawah 23 Tahun, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), selepas bangkit dua kali untuk mengikat kedudukan 2-2 di Stadium Shah Alam pada Selasa.

Malaysia mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam perlawanan ini dengan ribuan penyokong Harimau Malaya membanjiri stadium.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee berada di depan apabila C apabila Zhu Chenjie, tertolak sepakan Syahmi Safari ke dalam gawang sendiri untuk Malaysia mendahului 1-0 pada minit ke-11.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Guus Hiddink tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan Zhang Yuning empat minit kemudian.

Bersambung di babak kedua, Malaysia kembali di depan selepas Danial Haqim Draman, memanfaatkan kesilapan penjaga gol China, Chen Wei pada minit ke-55.

Malaysia yang terus melancarkan serangan ke arah gawang China namun China menggunakan kelebihan ketingggian yang dimiliki pemain-pemain mereka untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan Jiang Shenglong, enam minit sebelum tamat.

Malaysia menamatkan saingan di peringkat kumpulan di tempat kedua, berkongsi tujuh mata dengan China, namun China menerajui kumpulan dengan perbezaan jaringan yang lebih besar.

Kemenangan menyaksikan China layak secara automatik ke pusingan akhir di Thailand.

Skuad Kim Swee terlepas slot ke pusingan akhir selepas gagal menjadi empat pasukan terbaik yang menduduki tempat kedua dalam peringkat kumpulan.