Harimau Malaya mengganas pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 dengan menewaskan Vietnam 4-2.

Kemenangan bergaya di kubu lawan ini membolehkan skuad bimbingan Dollah Salleh menang dengan agregat 5-4.

Bertandang ke gelanggang lawan, defisit satu gol tidak mematahkan semangat juang skuad Harimau Malaya.

Kesemua empat gol kemenangan Malaysia dijaringkan pada babak pertama.

Safiq Rahim membuka tirai jaringan melalui sepakan penalti pada minit ke-4.

Selang 12 minit kemudian, giliran Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menambah derita tuan rumah.

aff


Vietnam bagaimanapun dihadiahkan sepakan penalti dan penyerangnya berjaya merapatkan jurang jaringan.

Tetapi tujuh minit kemudian, pertahanan Vietnam, Thien Tanh seakan gugup dan menyumbat gol sendiri.

Tonggak veteran Shukor Adan membuktikan dia masih berbisa dengan menyumbat gol keempat buat Malaysia.

Ketinggalan tiga gol, Vietnam cuba mencari rentak pada babak kedua.

Gol kedua Vietnam hadir pada minit ke-80, namun itu sudah terlambat buat pasukan tuan rumah.

Kedudukan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Pentas akhir bakal menyaksikan pertembungan Malaysia-Thailand pada 17 dan 20 Disember ini.