PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero, berasakan tahap fizikalnya kini ditahap terbaik dalam tempoh beberapa tahun terakhir susulan pembedahan lutut pada penghujung musim lalu.

Pemain Argentina itu menjalani pembedahan pada April lalu, sekali gus diketepikan dalam enam perlawanan terakhir Liga Perdana 2018.

Pemain berusia 30 tahun itu telah memulakan kempen musim ini dengan prestasi menggalakkan; menjaringkan dua gol dalam aksi Perisai Komuniti ke atas Chelsea sebelum mencetak hatrik ketika membelasah Huddersfield Town 6-1.

Sungguhpun gagal merakamkan sebarang gol dalam tiga aksi liga selepas itu, Aguero berasakan manfaat mengharungi permainan tanpa rasa menanggung kesakitan buat sekian lama.

"Secara jujurnya, saya berasa hebat," katanya, seperti yang dipetik oleh laman sesawang rasmi City. "Dr. Cugat melakukan pembedahan yang luar biasa terhadap lutut saya dan sekarang saya tidak lagi berasa sebarang ketidakselesaan.

"Sepanjang beberapa tahun yang lalu, saya sentiasa menanggung kesakitan dan pada penghujung musim lalu, kami memutuskan supaya lebih baik memulakan rawatan awal dan hasilnya sangat positif.

"Saya tidak pasti jika ini merupakan permulaan terbaik saya, tetapi ia adalah perasaan terbaik yang pernah saya rasakan selama bertahun-tahun kebelakangan ini. Ia terbukti dalam permainan saya.

"Cabaran ketika ini adalah untuk mengekalkan tahap seperti ini dan saya akan berusaha gigih untuk mengekalkannya."

City akan menyambung aksi domestik pada Sabtu ini apabila melayani kunjungan Fulham.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu diikat 1-1 di Wolves bulan lalu dan Aguero enggan lagi memandang rendah keupayaan pendatang baru.

"Mereka mempunyai tradisi di England sebagai sebuah pasukan yang bagus dan kini mereka telah memenangi tempat dalam Liga Perdana," katanya.

"Bukan rahsia lagi bahawa ini adalah salah satu kejohanan yang paling kompetitif di dunia yang dimainkan di peringkat tertinggi.

"Oleh itu, tidak kira sama ada mereka baru dipromosi atau tidak -- mereka telah mendapat tempat di sini."