Ahmed Musa menjaringkan dua gol untuk Nigeria mengatasi pendatang baru, Iceland 2-0 sekali gus menghidupkan semula peluang pasukan itu beraksi di pusingan kalah mati Piala Dunia.

Berlangsung di Volgograd, skuad the Super Eagles mencari kemenangan selepas tumpas 0-2 kepada pendahulu kumpulan D, Croatia dalam perlawanan pembukaan.

Bagaimanapun Iceland bermula garang dengan percubaan Gylfi Sigurdsson dari luar kotak penalti pada minit ke-3, namun diselamatkan penjaga gol Nigeria, Francis Uzoho.

Kedudukan kekal 0-0 dalam babak pertama sebelum Nigeria memecah kebuntuan pada minit ke-49 menerusi ‘half-volley’ Ahmed Musa dari jarak dekat, hasil hantaran Victor Moses.

Ahmed Musa sekali lagi mencuri tumpuan dalam perlawanan ini pada minit ke-74, apabila membuat rembatan deras dari luar kotak penalti yang menggegarkan palang gol Iceland.

Pada minit ke-75 pertahanan Iceland, Kari Arnason gagal mengejar larian Ahmed Musa, membolehkan penyerang Leicester City itu menjaringkan gol kedua Nigeria.

Iceland mendapat penalti ketika perlawanan berbaki sepuluh minit selepas pengadil merujuk VAR, namun sepakan Sigurdsson melewati palang.

Perlawanan tamat Nigeria 2, Iceland 0, yang menyaksikan skuad the Super Eagles itu melonjak ke tangga kedua kumpulan D, di hadapan Iceland dan Argentina.

Nigeria akan bertemu Argentina dalam baki perlawanan kumpulan D pada 27 Jun, jam 2 pagi, sementara Iceland akan bertemu Croatia pada hari dan waktu yang sama.