Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, AirAsia berbangga dapat menerbangkan kontinjen Malaysia ke Sukan Asia yang akan berlangsung di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula Sabtu ini hingga 2 Sept depan.

Hari ini, sekumpulan 113 atlet dan pegawai yang terbabit dalam sukan badminton, hoki, renang, memanah dan gimnastik artistik menjadi kumpulan pertama berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di Sepang.

"Kami berbangga dapat menerbangkan kontinjen Malaysia ke Indonesia bagi menyertai Sukan Asia.

"Malaysia mempunyai kumpulan atlet yang kuat tahun ini dan saya tidak berkeyakinan mereka akan berusaha sedaya upaya untuk membanggakan negara pada acara sukan terbesar Asia itu. Kami ucapkan yang terbaik untuk mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam kenyataan, di sini hari ini.

Selama bertahun-tahun AirAsia memberikan sokongan kepada atlet-atlet negara dalam mencipta kejayaan antaranya pelumba basikal Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa; atlet terjun Leong Mun Yee; atlet bina badan Faiz Ariffin; pemain boling Syaidatul Afifah Badrul Hamidi serta jaguh badminton profesional dan pemain Akademi Badminton AirAsia Liew Daren yang akan mewakili Malaysia ke temasya itu.

Komitmen AirAsia terhadap sukan Malaysia merupakan sebahagian daripada kempen #DARETODREAM syarikat yang memperkukuh kedudukannya dalam merealisasikan impian atlet kebangsaan dengan satu matlamat iaitu menjadikan nama negara gah di dunia.

-- BERNAMA