Organisasi seni bela diri campuran (MMA) terulung di dunia, UFC hari ini mengumumkan untuk meneruskan kerjasama mereka dengan syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka, AirAsia.

Menurut satu kenyataan pada Jumaat, kerjasama ini diteruskan setelah AirAsia berjaya menerima pengiktirafan industri setelah setahun bekerjasama dengan merangkul anugerah gangsa SPIA bagi kategori Penaja Terbaik.

Menerusi kerjasama ini juga, UFC dan AirAsia akan mencari dan memupuk bakat baharu untuk sukan MMA di rantau Asia-Pasifik serta mencipta kandungan asli untuk para peminat MMA.

Selain itu, Program Biasiswa UFC pertama turut dilancarkan, yang diberikan kepada juara kelas straw Wanita One Pride Linda Darrow bagi mengasah kemahirannya di UFC Performance Institute di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Atlet UFC Australia, Jim Crute turut mendapat manfaat daripada kerjasama ini yang membantu kemasukannya dalam “Dana White’s Tuesday Night Contender Series”, melalui perlawanan yang dimenangi dan memperoleh kontrak bersama UFC.

Crute yang baharu sahaja memenangi pertarungan pertamanya di UFC Fight Night di Adelaide, Australia pada Dis lalu, kini melonjak di arena perlawanan dan bakal berhadapan dengan Sam Alvey dalam acara utama UFC 234 di Melbourne pada Ahad ini (10 Feb).

Naib Presiden Perkongsian Global UFC, Paul Asencio berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan seluruh pasukan AirAsia atas sokongan berterusan mereka.

“Kerja keras kami sememangnya berbaloi apabila dapat melihat impak daripada kandungan yang dijana dan peluang baharu yang dicipta untuk para pelancong, peminat, atlet UFC dan atlet baharu MMA seperti Darrow dan Crute," katanya.

Sementara itu, Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw berkata, pihaknya akan merancang lebih banyak kempen yang inovatif dan pengaktifan jenama menerusi jenama UFC, sukan dan peminat global yang boleh menarik rakan kongsi di seluruh dunia pada 2019 ini.

“Kami amat berbangga untuk meneruskan kerjasama dengan UFC untuk satu tahun lagi, terutamanya kerana mereka terus mengembangkan kehadiran mereka di pasaran Asia Pasifik.

“Menerusi kerjasama ini, kami telah melihat beberapa kejayaan pada tahun lepas - termasuklah jenama AirAsia di pentas Octagon® untuk perlawanan UFC 229: Khabib vs McGregor, dan pesawat berjenama UFC pada Airbus A330-300, yang kini telah membawa hampir 150,000 orang tetamu ke lebih dari 20 destinasi dalam rangkaian jarak jauh kami.

“Lebih penting lagi, sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menawarkan peluang kepada orang ramai, kami teruja untuk terus mencari dan memupuk bakat MMA baharu di rantau ini," katanya.

BACA: AirAsia jadi 'syarikat penerbangan rasmi' UFC

UFC pada Nov 2017 lalu telaj mengumumkan kerjasama jangka panjang merentasi pelbagai wilayah bersama AirAsia, sebagai ‘Syarikat Penerbangan Rasmi’ pertama jenama global tersebut.

Naib Presiden UFC Asia Pasifik, Kevin Chang berkata kerjasama tersebut menunjukkan bahawa UFC dan sukan MMA telah berkembang dengan pesat di Asia dan di seluruh dunia.