ERIK ten Hag berkata Ajax boleh lolos ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) sekiranya mereka mempunyai "100 peratus kepercayaan" selepas seri 1-1 dengan Juventus.

Ajax, yang merupakan 'kisah Cinderella' musim ini, mempamerkan prestasi mengagumkan dalam pertemuan suku akhir pertama di Amsterdam, awal pagi tadi, yang menyaksikan David Neres membatalkan jaringan pembukaan Cristiano Ronaldo.

Ajax -- yang mengejutkan juara bertahan tiga kali, Real Madrid, dalam pusingan 16 lalu -- mendominasi permainan di Johan Cruijff Arena itu dengan dengan gergasi Belanda berkenaan tidak cukup tuah untuk menokok gol yang dihasilkan Neres pada minit ke-46.

Selepas Frenkie de Jong dan pemain muda Ajax sekali lagi mempamerkan prestasi mengagumkan, pengurus, Ten Hag, memberitahu pemberita: "Saya fikir sekali lagi kami menampilkan prestasi di luar batasan. Begitupun, jika kami ingin mencapai peringkat separuh akhir, kami harus berusaha keras dalam perlawanan seterusnya.

"Kami boleh menggunakan perlawanan ini sebagai panduan, kami boleh belajar daripada itu. Jika kami memiliki 100 peratus kepercayaan, kami boleh meraih kemenangan di sana.

"Kami bermain dengan sangat matang sepanjang 99.9 peratus permainan. Hanya ada satu detik kami tidak memberikan perhatian dan Juve segera mengambil kesempatan itu.

"Jika kami mahu mengambil langkah seterusnya, kami perlu memperbaiki aspek itu. Sudah tentu, Juventus masih merupakan pasukan pilihan dalam pertandingan ini tetapi hari ini, kami telah membuktikan bahawa kami boleh mengukur kemampuan dengan pasukan seperti ini."

"Sekiranya kami mahu menundukkan mereka, kami tidak boleh mempunyai kelemahan seperti ini. Jika kami tidak memberi perhatian dalam satu saat, mereka akan menghukum kami dan oleh itu, kami perlu memperbaikinya," tambahnya.

"Saya fikir kami mempunyai pelan permainan yang baik dan kami berjaya melakukannya dengan baik. Saya berharap kami dapat menjaringkan gol kedua tetapi kami perlu bergembira dengan keputusan ini. Kami perlu melupakan keputusan ini kerana kami akan menentang Excelsior, hujung minggu ini."

Ten Hag menambah: "Saya berpesan kepada pemain bahawa adalah penting untuk tidak kalah. Anda harus memanfaatkan peluang yang ada. Anda perlu menganggap keputusan seri adalah keputusan paling maksimum.

"Kami gagal ketika menentang Bayern Munich di tempat sendiri (aksi peringkat kumpulan) dengan kekalahan 2-3. Berdepan Real Madrid, kami tewas 1-2 ,jadi ini adalah keputusan yang kami akan bawa ke Turin. Keputusan seri ini meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih baik untuk berkunjung ke tempat lawan."