Berita  |  Sukan

Akademi Badminton Malaysia bakal jadi milik BAM

Akademi Badminton Malaysia bakal jadi milik BAM
NORZA: Apa yang kami mohon adalah akademi ini dan Stadium Juara.
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menjangkakan dapat mengambil alih secara penuh bangunan Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara pada Januari tahun depan.

Akademi itu yang mula digunakan secara rasmi oleh skuad badminton kebangsaan pada Februari tahun ini, menelan kos sebanyak RM31 juta.

Ia merangkumi 18 gelanggang di samping tempat tinggal yang mampu menempatkan 200 orang.
Pada ketika ini, kemudahan itu masih lagi di bawah tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Sehubungan itu, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, berharap kemudahan itu dapat diambil alih secara mutlak oleh badan induk berkenaan agar pelaksanaan program untuk tahun depan dapat dijalankan dengan lebih baik.

"Apa yang kami mohon adalah akademi ini dan Stadium Juara. Maksudnya, bermula Januari akan datang kami mempunyai 36 gelanggang yang mana kami rasa ia bertepatan dengan keperluan kami.

"Pelajar SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil) akan datang di sini dan kami juga akan menambah pelajar yang berkelayakan dari negeri-negeri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif BAM, hari ini.

Dalam perkembangan sama, mesyuarat itu turut mencadangkan empat lagi akademi diwujudkan di empat zon berbeza. Ia merangkumi zon utara, selatan, pantai timur di samping Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, hanya Sarawak sudah mempunyai lokasi iaitu berhampiran Kompleks Sukan Sarawak di Petra Jaya, manakala Terengganu juga sudah berminat untuk menjadi hab akademi bagi zon pantai timur.

Untuk lebih banyak lagi berita sukan dan video, klik di sini