Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang popular di sini menggesa rombakan dilakukan terhadap program sukan Thailand berikutan kualiti atlet negara itu dikatakan merudum pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang sedang berlangsung.

Dalam teguran keras terhadap pihak berkuasa sukan negara itu, akhbar The Nation dalam lidah pengarangnya hari ini berkata, negara telah gagal terutamanya dalam (acara) sukan antarabangsa pada temasya dwitahunan yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

"Pada Kuala Lumpur 2017 , Thailand telah gagal terutamanya dalam 'sukan antarabangsa'. Pendek kata sekiranya acara sukan serantau (tradisional) dikeluarkan daripada carta pingat, negara masih ketinggalan di belakang Malaysia, Singapura dan Vietnam," katanya.

Penyenaraian sukan tradisional dalam Sukan SEA, katanya telah dijadikan alasan oleh negara jika ia kalah kepada Malaysia untuk kekal mendominasi temasya serantau itu, tetapi ia tidak boleh bergantung pada alasan dan hujahan itu lagi pada kali ini.

Thailand yang menyasarkan 109 pingat emas pada SEA Games Ke-29 itu, menurut akhbar itu, sudah kehabisan alasan dan pada masa sama turut hilang cengkaman dalam sukan-sukan antarabangsa.

Sementara itu, Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA, walaupun berdepan kritikan kerana menganjurkan sukan-sukan yang dikuasainya, ia telah membuktikan bahawa atlet-atlet mereka memang tiada tandingannya apabila membabitkan sukan-sukan antarabangsa, menurut akhbar itu.

Berbaki dua hari lagi pertandingan, Malaysia jauh mendahului dalam jumlah pungutan pingat dan bakal dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan Thailand di tempat kedua.

Thailand ialah juara keseluruhan Sukan SEA dua tahun lepas di Singapura.

-- BERNAMA