KELANTAN mahu membuka akaun dengan kemenangan pertama apabila turun menentang Selangor dalam aksi pembukaan Kumpulan D acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIX di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, malam ini.

Ketua jurulatih, Sazami Shafi’i, menjelaskan perlawananan pertama cukup penting kepada mana-mana pasukan dan dia berharap anak buahnya mampu memberikan aksi terbaik biarpun sudah tiga edisi kejohanan tidak mengambil bahagian.

“Biarpun agak lama kami tidak beraksi di pentas Sukma, saya harap aksi pemain tidak berkarat.

"Saya sedar aksi pembukaan cukup penting untuk mana-mana pasukan dan kami sudah bersedia untuk melayan skuad Merah Kuning," katanya.

Sazami, yang juga bekas ketua jurulatih skuad Piala Belia Kelantan, sedar tekanan yang bakal digalas, namun menyerahkan kepada kemampuan pemainnya untuk membuktikannya di atas padang.

“Saya menghormati kekuatan pasukan lawan dan tentunya satu aksi yang menarik bakal dipersembahkan kerana kedua-dua pasukan tidak mahu kecewa dalam aksi pembukaan," tambahnya.

Sazami juga menyifatkan kedua-dua pasukan akan turun dengan penuh berhati-hati dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh menghancurkan pasukan.

"Satu perlawanan yang menarik kerana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan untuk memulakan perjuangan dengan langkah kanan," katanya.

Untuk rekod, Kelantan diundi bersama Selangor, Pahang dan Kedah dalam Kumpulan D.