Jurulatih ragbi negara, Lee Nyuk Fah mencadangkan supaya Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengatur lebih banyak perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad 15 sebelah kendaliannya.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan pemain kebangsaan kekal cergas memandangkan tiada kejohanan antarabangsa yang akan disertai selepas berakhir Kejohanan Ragbi Asia Divisyen Satu di Kelab Diraja Selangor pada Mei lepas.

"Memandangkan kita muncul juara Ragbi Asia Divisyen Satu, penting bagi kita membuat persediaan awal termasuk mengadakan perlawanan persahabatan untuk terus memantapkan pasukan dan mempertahankan kejuaraan," katanya kepada Bernama.

Malaysia muncul juara kejohanan itu selepas menewaskan Singapura 40-20 pada aksi final, 14 Mei lepas.

Dalam pada itu, Lee berkata pemain kebangsaan akan kembali berkumpul untuk menjalani latihan selepas berakhir Kejohanan Ragbi Piala Agong, yang dijadual berlangsung Ogos depan.

"Beberapa pemain terbaik yang dikenal pasti daripada kejohanan ini akan diserapkan ke dalam skuad kebangsaan. Pada masa sama kita merancang mengadakan lawatan ke luar negara termasuk mengadakan aksi persahabatan, namun itu terpulang kepada keputusan akhir KRM," kata Lee.

Beliau seterusnya mengakui pemain negara perlu meningkatkan aspek fizikal mereka supaya dapat bersaing dengan kuasa utama ragbi Asia seperti Hong Kong dan Korea Selatan.

Beliau menjelaskan skuad negara mempunyai kepantasan dan corak permainan hampir sama dengan beberapa negara seperti Sri Lanka dan Filipina, namun susuk badan lebih kecil berbanding pemain pasukan lain menjadi penghalang untuk bersaing secara lebih kompetitif.

"Kita memerlukan pemain seperti K. Dineshwaran yang mempunyai ketinggian lebih enam kaki dan mempunyai berat lebih 100kg, tetapi agak laju ketika melakukan serangan ke atas kubu pihak lawan.

"Bukan saya cakap pemain kita tidak bagus namun dalam permainan ragbi, mempunyai susuk badan yang tegap adalah penting kerana aspek fizikal turut memainkan peranan penting," jelas Lee.