Adakah ‘Semangat 1982’ akan meresapi Algeria apabila bertemu dengan gergasi Eropah, Jerman pada perlawanan peringkat kalah mati di Porto Alegre awal pagi ini.

Pada Piala Dunia 1982, wakil Afrika yang tidak langsung diletakkan harapan memenangi sebarang perlawanan ini membuka mata dunia apabila melakukan kejutan dengan menundukkan Jerman Barat ketika itu dengan jaringan 2-1.

Namun itu adalah cerita 32 tahun yang lalu dan skuad Algeria 2014 sudah pasti tidak mahu terhimpit dengan nostalgia lapuk itu sebaliknya mahu menggunakan kemahiran dan keupayaan yang ada untuk memastikan pasukan tersebut layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Algeria yang sudah pun mencipta sejarah bola sepak Piala Dunia apabila melayakkan diri ke peringkat kalah mati kini berazam mahu melakar satu lagi kejutan dan sekaligus layak ke suku akhir dengan menewaskan Jerman.

Kehadiran bulan Ramadan juga tidak pernah digunakan sebagai alasan bagi pemain Algeria yang rata-ratanya beragama Islam untuk mempamerkan aksi hambar sebaliknya para pemain begitu bersemangat untuk berjuang.

Islam
Pemain Algeria, Islam Slimani meraikan jaringannya ketika perlawanan kumpulan H menentang Korea Selatan pada 22 Jun lalu. -AFP PHOTO / PEDRO UGARTE

Algeria sekali lagi akan menyandarkan harapan kepada Islam Slimane untuk mencipta jaringan disamping bantuan daripada Sofiane Feghouli, Nabil Bentalib dan Yacine Brahimi untuk mengkucar-kacirkan pertahanan Jerman.

Walaupun begitu, menidakkan keupayaan Jerman dalam Piala Dunia ini bagaikan sesuatu yang mustahil kerana bekas juara Piala Dunia 1954, 1974 dan 1990 sememangnya adalah lawan yang diletakkan harapan yang sangat tinggi.

Ini berdasarkan corak permainan yang ditampilkan oleh mereka walaupun ada kalanya prestasi permainan mereka seperti yo-yo dan ini boleh dilihat ketika mereka hampir tewas kepada satu lagi wakil Afrika, Ghana dalam perlawanan peringkat kumpulan dimana penyerang veteran Jerman, Miroslav Klose berjaya mempertahankan maruah negara itu untuk perlawanan berkesudahan seri 2-2.

Namun, corak permainan yang meyakinkan yang ditampilkan dari semua sudut posisi pemain Jerman mampu menghasilkan kemenangan yang dicari-cari.

Thomas Muller
Pemain Jerman, Thomas Mueller ketika dalam sesi latihan di Recife, Brazil, pada 25 Jun lalu. - AP Photo/Julio Cortez

Thomas Muller, Mesut Ozil, Bastian Schweisteiger, Mario Gotze dan Toni Kroos akan menjadi antara watak-watak berbahaya Jerman dalam usaha untuk mencipta jaringan gol dan sekaligus membawa pasukan Bavaria itu ke peringkat suku akhir.

RAMALAN ASTRO AWANI: Jerman..2 Algeria..0