LUPAKAN tentang David De Gea, Thibaut Courtois, Marc-Andre ter Stegen, Manuel Neuer dan Ederson tetapi legenda Itali, Paolo Conti, berasakan Alisson adalah penjaga gol terbaik dunia ketika ini.

Alisson beraksi buat AS Roma dalam semua aksi Serie musim ini, membuatkan khidmatnya mula dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool sambil Real Madrid dilihat sebagai destinasi utama.

Pemain berusia 25 tahun itu melakukan 37 penampilan dalam semua kejohanan buat Roma bagi musim 2017/18, termasuk membantu kelab Itali itu melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona.

Conti, yang merupakan bekas penjaga gawang Roma dan Itali, memuji kehebatan pemain Brazil itu.

"Alisson adalah penjaga gol terbaik dunia ketika ini," katanya kepada Radio Centro Suono Sport.

"Agak mustahil untuk menetapkan nilainya tetapi yang pasti, harganya pasti melambung tinggi.

"Sudah lama saya dapat melihat kehebatannya dan kini dia tampak begitu bernilai. Dia mempunyai kebijaksanaan dan kepantasan dalam pergerakan untuk menangkis percubaan lawan.

"Dia tidak perlu melayangkan badan kerana sering berada pada posisi tepat," tambahnya.

Alisson akan bersama Roma untuk menyambung saingan Serie A pada Sabtu ini, bertandang ke Bologna selepas berehat bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa.